KETUA JURULATIH NEGERI
MASTER NAJMI ABDULLAH AMT,PPN, PJK, OIM(ITF)
7th Degree Blackbelt
Ketua Jurulatih Negeri & Pemeriksa Antarabangsa
Najmi Abdullah mula berkecimpung dalam seni taekwondo dalam tahun 1969 dengan mengikuti latihan di bawah jurulatih berbangsa Korea, Master Young Ku Yun (kini bergelar Grandmaster) yang diberi tanggungjawab oleh International Taekwon-Do Federation (ITF) memperkenalkan seni ini di pantai timur. Bersama-sama Najmi adalah En. Aw Chong Tiong (kini Ketua Jurulatih Negeri untuk WTF Terengganu) dan Ong Yu Tiang (bekas penjaga gol pasukan bolasepak Terengganu) telah mengikuti latihan taekwondo di sebuah bangunan Persatuan Cina Hainan di Kg.Daik, Kuala Terengganu. Pada tahun 1971 latihan taekwondo diterajui oleh En.Chris Lai (kini menetap di Australia) yang menggunakan dewan SM Tengku Bariah, Kuala Terengganu sebagai Pusat Latihan. Ujian kenaikan (grading) pada ketika itu jarang dilaksanakan berikutan kekurangan Pemeriksa yang bertauliah daripada ITF.

Young Ku Yun dari Korea
Sejak 1970'an, Najmi dan rakan-rakan telah menyertai kejohanan-kejohanan taekwondo di peringkat kebangsaan dan jemputan. Dalam tempoh itu Najmi dan pelopor-pelopor muda ITF di Terengganu dibenarkan oleh badan taekwondo kebangsaan iaitu Persekutuan Taekwon-Do Malaysia (Malaysian Taekwon-Do Federation) untuk memakai talipinggang hitam dalam kejohanan kebangsaan. Kebenaran khas itu diperolehi daripada Ketua Jurulatih pada masa itu iaitu Master Low Koon Lim (kini Grandmaster). Nama beliau menonjak semenjak dari itu kerana penguasaan dalam acara free-sparring.
Pada tahun 1978, kegiatan taekwondo di negeri ini diketuai oleh En.T.Thomas (3rd Dan) yang menjadi salah seorang peneraju penubuhan Persekutuan Taekwon-Do Terengganu (ITF) ("PTT"). T.Thomas tidak lama kemudian dalam tahun 1979 kurang aktif dan tidak menumpukan dalam perkembangan seni ini dan tugas sebagai ketua kemudiannya disandang oleh Najmi dengan dibantu oleh adiknya Kanna dan rakan-rakan yang lain.
Najmi hanya mengambil ujian talipinggang hitam darjah pertama (1st Dan) pada tahun 1980 di bawah Ketua Jurulatih Negeri, T.Thomas yang baru dibenarkan menjadi pemeriksa setelah lulus tahap 4th Dan. Pada 1982 beliau telah lulus ujian kenaikan talipinggang hitam darjah kedua (2nd Dan).
Pemeriksa-pemeriksa yang mengendalikan ujian di negeri ini selepas Master Low Koon Lim dari tahun 1984 ialah Master Sabree Salleh (kini Grandmaster Dato'), Master Leong Wai Meng (kini Grandmaster), Master Amir Md. Noor, Master Ng Kam Swee, mendiang Master Lim Boon Nam dan Master Ngiaw Wee Sun. Dalam tempoh ini negeri Terengganu belum ada yang layak menjadi pemeriksa tetap.
Najmi kini dilantik oleh badan kebangsaan untuk mengendalikan peperiksaan taekwondo di negeri Terengganu dan di beberapa kelab di luar negeri. Beliau pernah dijemput mengendalikan peperiksaan di Mesir, Jordan dan India.
Di bawah Najmi's Taekwon-Do Academy, beliau melalui penuntutnya telah memperkembangkan seni Taekwon-Do di sebuah universiti di Mesir melalui En.Shakir dan di di Universiti Ali AlBayt di Jordan melalui Hj.Abd Hafiz Arifin. Di selatan India beliau sendiri membina tapak pertumbuhan Taekwon-Do tanpa mengenakan apa-apa bayaran dan setelah melahirkan beberapa pemegang talipinggang hitam, kelas-kelas di India diteruskan oleh penduduk tempatan.
Taekwon-Do bertapak di beberapa institusi penting di dalam negeri Terengganu seperti Polis Hutan (Gong Badak) yang berjaya melahirkan jaguh dalam arena Taekwon-Do tradisional dan Karate. En.Shakir sebelum melanjutkan pelajaran ke Mesir telah sekian lama cuba mewujudkan satu badan yang mengelola aktiviti Taekwon-Do untuk penuntut Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA). Pada ketika itu telah menjadi polisi KUSZA tidak membenarkan penubuhan badan berbentuk seni bela diri. Hanya pada tahun 1996, melalui penuntut Najmi iaitu Hj.Saiful Nizam Ashari dari Universiti Islam Antarabangsa, kegiatan ini dibenarkan secara rasmi dengan penubuhan Kusza International Taekwon-Do Association (KITA).
Pada tahun 1994, semasa Kejohanan Taekwon-Do Sedunia Ke-9 di Kuala Terengganu, mendiang Gen. Choi Hong Hi menggunakan Pusat Latihan Taekwon-Do Kuala Terengganu kepunyaan En.Najmi untuk satu sesi ujian kenaikan bagi pemegang talipinggang hitam senior. En. Najmi telah dianugerahkan O.I.M (Outstanding Instructor Medalist) secara peribadi oleh Gen.Choi pada tahun 1994 sendiri kerana jasa dan usaha beliau dalam perkembangan ITF dalam negara dan antarabangsa.

Najmi mengiringi Tun Dr.Mahathir, Gen.Choi Hong Hi, Dato' Seri Amar Diraja Wan Mokhtar Ahmad dan pembesar-pembesar negeri menyaksikan persembahan Pasukan Demonstrasi ITF.